Followlah blog ini sekiranya berbaloi untuk difollow. Sebarang ulasan adalah amat amat amat amat diharapkan.

Ketaqwaan dan Kesabaran Nabi Yusuf (Part2)

Sambungan bahagian 1.

NABI YUSUF MENAFSIRKAN MIMPI DAN DIBEBASKAN
Q:12:41-53

Nabi yusuf diminta oleh dua pemuda di dalam penjara untuk menafsirkan mimpi kerana mereka melihat baginda adalah orang yang baik.

Tatkala baginda menafsirkan mimpi raja, pastinya raja berasa hairan bagaimana seorang pemuda yang baik dimasukkan ke dalam penjara. Apakah kisah baginda sehingga dipenjarakan.

Kemudian nabi yusuf menyuruh mereka bertanya kepada isteri menteri (aziz) dan wanita-wanita yang melukakan tangan mereka. Lantas kesemua wanita itu mengaku bersalah dan menyucikan nabi yusuf iaitu dengan membebaskan baginda daripada tuduhan dan tipu daya mereka dahulunya.

Rasulullah telah memuji kesabaran nabi yusuf yang dapat dilihat melalui peristiwa ini.

Dari ibnu abbas radhiallahu 'anhuma, rasulullah bersabda, "Aku merasa kagum dengan kesabaran saudaraku yusuf dan dengan kemuliaannya. Allah mengampuninya. Ketika diutuskan utusan untuk meminta pandangan berkenaan mimpi, sekiranya aku, tidak aku lakukan sehingga aku dikeluarkan. Aku merasa kagum dengan kesabarannya dan kemuliaannya. Allah mengampuninya. Ketika diberi keluar, dia tidak keluar sehingga mereka membebaskannya (membersihkannya dari tuduhan). Seandainya aku, nescaya aku bersegera ke pintu (untuk keluar)." -Dikeluarkan oleh attabrani.

*     *     *     *     *

NABI YUSUF DIBEBASKAN
Q:12:54-57

7-Memuji diri sendiri dan meminta kuasa.

Pada asalnya seorang muslim tidak boleh memuji diri sendiri.
"...maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa." [Q:53:32]

Dan muslim tidak meminta kuasa untuk dirinya sendiri.
"Peminta kuasa tidak diberi kuasa."

Pengecualian syar'ie: Boleh meminta kuasa untuk merealisasikan maslahat muslimin, menghalang mudharat atau mendirikan keadilan. Dibenarkan jika dia meyakini dirinya mampu melakukan sedemikian.

Meminta kuasa untuk mendapatkan redha Allah. Bukan untuk disayangi raja atau cintakan dunia.

*     *     *     *     *

PERTEMUAN PERTAMA
Q:12:58-68

Sebaik sahaja abang-abang nabi yusuf datang untuk meminta bekalan makanan ketika musim kemarau, baginda mengenali mereka sedangkan mereka tidak mengenali mereka. Pasti ada yang tertanya mengapa.

Kenapa? Kerana ketika nabi yusuf dicampak ke dalam perigi, baginda masih kecil. Dan mereka tidak bertemu bukan hanya setahun dua bahkan belasan atau mungkin puluhan tahun. Pastinya seorang kanak-kanak itu berubah wajahnya sedikit sebanyak bila meningkat dewasa.

Kemudian nabi yusuf meminta abang-abangnya membawa adik mereka yang sebapa jika mahu diberi lagi bekalan makanan. Lantas berlakulah perbualan di antara abang-abangnya dengan nabi ya'qub setelah mereka pulang dari mesir.

"...dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya"." [Q:12:63]

Bagaimana mungkin nabi ya'qub mampu mempercayainya setelah apa yang berlaku kepada nabi yusuf dahulunya. Sehinggalah ayahnya berkata,

"Bapa mereka berkata "Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh". Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu."" [Q:12:66]

*     *     *     *     *

"Dan ia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri"." [Q:12:67]

8-Al-akhzu bil asbab dan tawakkal kepada Allah untuk mencapai matlamat.

Al-akhzu bil asbab: Berusaha (berbuat sesuatu) untuk mencapai matlamat.

Setiap daie mesti berusaha dengan sesungguh-sungguhnya supaya menjadi asbab tercapainya matlamat dalam berdakwah. TETAPI dalam masa yang sama hendaklah berpegang bahawa kejayaan sesuatu dakwah itu adalah kerana Allah semata-mata.

Seperti dalam kisah nabi yusuf, nabi ya'qub menyuruh anak-anaknya masuk ke mesir melalui pintu yang berbeza yakni berpecah.

Pertama: Ada yang berpendapat kerana nabi ya'qub bimbang anak-anaknya terkena penyakit ain disebabkan kekacakan wajah mereka.

Maka rasulullah mengajar untuk melindungi diri daripada penyakit ain dengan membaca,
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِن كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَكُلِّ عَيْنٍ لَّامَّةٍ.

*Untuk bacakan pada orang lain, terutama anak-anak, tukar kalimah (a-'ūzu) kepada u-'īzuka (sorang anak lelaki) atau u-'īzuki (sorang anak perempuan). Sebagaimana yang dilakukan oleh rasulullah terhadap hasan dan husin dengan mengucapkan u-'īzukuma.

*أُعيذكَ / أُعيذكِ/ أُعيذكُمَا/ أُعيذكُم/ أُعيذكُنَّ
Manakala orang lain yang melihat atau merasa kagum dengan sesuatu, hendaklah mengucapkan, "tabārakallahu ahsanul khāliqīn". Atau paling kurang pun māsyaAllah.
تبارك الله أحسن الخالقين.
ما شاء الله.

Sangat penting untuk semua orang mengamalkannya. Lagi-lagi yang mempunyai bayi atau anak kecil. Dan orang lain pun, bila tengok apa-apa yang comel, cantik, menakjubkan, hebat, dll belajarlah untuk ingat Allah. Serahkan pujian kepada Allah.

Kerana semuanya Allah yang jadikan indah. Dan kerana 'ain boleh membunuh. Bukan sekadar memberi kesan biasa, bahkan sehingga tahap boleh terbunuh.

Kalau dekat negara arab, lidah mereka dibiasakan dengan memuji Allah bila melihat sesuatu yang indah. Saya perasan selalu mereka mendoakan yousef bila bertemu. Tak lekang dari memuji Allah.
Ada satu kes, sehingga ibu bapa seorang bayi terpaksa menulis kalimah masyaAllah pada dahi anaknya supaya tiap kali orang lain melihat, mereka akan membaca secara tak langsung.

Kedua: Ada yang berpendapat kerana dibimbangi orang lain merasa curiga apabila melihat 10 orang lelaki masuk ke mesir secara sekaligus. Bimbang disalah anggap sebagai perompak dan sebagainya.

Namun adalah lebih baik untuk tidak berfikir kenapa nabi ya'qub memerintahkan demikian. Jika mereka mengikut pesanan nabi ya'qub sekalipun, seandainya Allah berkehendak untuk menyebabkan sesuatu terjadi, maka ia tetap berlaku. Begitulah al-akhzu bil asbab. Dan tidak lain tidak bukan, ini hanyalah hajat nabi ya'qub dan tiada siapa yang mengetahui hakikat sebenar kenapa baginda memesan begitu. Wallahu a'lam.

Apa pun, pengajaran yang boleh diambil, bak kata mufti menk, tak payah cerita semua benda di khalayak ramai (terutama medan sosial) tentang kelebihan, nikmat, kebahagiaan kita. Bimbang mata-mata yang memandang tidak memuji Allah atau hasad kepada kita lantas terkena penyakit ain. Nauzubillah.

*     *     *     *     *

PERTEMUAN KEDUA
Q:12:69-87

Ketika adiknya dibawa masuk berjumpa dengan nabi yusuf, baginda memberitahu bahawa dirinya adalah yusuf. Maka janganlah berduka cita atas apa yang telah abang-abangnya lakukan.

Baginda meletakkan bejana minuman raja ke dalam kenderaan saudaranya. Berlakulah perbualan di antara mereka.

Orang-orang menteri bertanya kepada abang-abang nabi yusuf, apakah balasan bagi pencuri? Ini kerana mereka adalah anak kepada nabi, sudah tentu mereka mengetahui syariat nabi ya'qub. Orang-orang menteri ingin pencuri itu dihukum menggunakan syariat nabi ya'qub dan bukan undang-undang mesir.

Mereka mengatakan bahawa sesiapa yang didapati mencuri, dialah yang akan diambil oleh raja untuk dijadikan hamba, kerana mereka yakin mustahil ada dari kalangan mereka yang mencuri. Baginda mendengar segala perbualan itu dan berasa tenang kerana apa yang dirancangnya berjaya.

Setelah memeriksa, ternyata ia dijumpai di dalam kenderaan adik mereka.

"Mereka berkata: "Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): "Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu"." [Q:12:77]

Setelah itu mereka merayu agar adik mereka dilepaskan apabila memikirkan ayah mereka dan janji yang telah mereka ikat dengan nama Allah. Namun rundingan tidak berjaya. Akhirnya abang sulung mereka tinggal di mesir sehingga ayahnya menetapkan hukuman buatnya.

Apabila berita itu sampai ke pengetahuan nabi ya'qub, bertambahlah kesedihan baginda sehingga anak-anaknya merasa tidak senang, lantas dijawab oleh baginda,

"(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya." [Q:12:86]

9-Keperluan sabar untuk seorang daie.

Nabi ya'qub tidak mengadu kesedihan dirinya kecuali hanya kepada Allah. Dalam kesedihannya itu, baginda sangat yakin bahawa Allah akan mengeluarkannya dari kesulitan melalui arah yang tidak disangka-sangkanya.

Tidak harus untuk seorang daie mencapai matlamat dengan segera kerana semuanya terletak pada ketentuan Allah. Segala apa yang terjadi, kita hendaklah meletakkan tsiqah sepenuhnya kepada Allah.
Diharuskan untuk mengadu kepada Allah segalanya. Tidak diharuskan untuk mengadu kepada selain dari Allah, kerana hanya Allah yang mampu mengangkat mudharat itu.

Tidaklah menjadi syarat untuk menerima balasan, ganjaran atau hasil dengan segera. Sebagaimana yang kita lihat dari kisah nabi yusuf dan ayahnya yang mana mereka terpisah puluhan tahun, namun mereka terus tsiqah dengan perancangan Allah.

"Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya, dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir"." [Q:12:87]

10-Jangan putus asa dari rahmat Allah.

Ketahuilah bahawa tiada kesenangan melainkan apa yang Allah permudahkan baginya. Dia yang menjadikan kesusahan menjadi mudah. Dia yang menyingkap mudharat dari hambaNya.

Janganlah putus pengharapan dan cita-cita dari Allah.

Baginda mengetahui bahawa nabi yusuf masih hidup kerana mimpi nabi yusuf belum terealisasi lagi. Cuma ayahnya tidak tahu, di mana nabi yusuf, bagaimana keadaannya, bila akan berjumpa lagi.

*     *     *     *     *

PERTEMUAN KETIGA
Q:12:88-98

Kali ketiga abang-abang nabi yusuf datang dan ingin menukar barang dengan makanan, baginda berkata, "Yusuf berkata: "Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?"" [Q:12:89]

Maka pastilah yang berkata itu yusuf adik mereka kerana tiada siapa yang mengetahui kejadian tersebut melainkan yusuf dan abang-abangnya.

Katanya lagi, Allah telah mengurniakan nikmatNya
-dengan mengakhiri ujian yang menimpa mereka,
-dengan mengumpulkan mereka setelah terpisah,
-dengan kemuliaan selepas kehinaan,
-dengan kasih sayang selepas kebencian.

Sesungguhnya siapa yang bertaqwa dalam setiap keadaan dan bersabar di atas apa jua dugaan atau maksiat, Allah tidak akan menghilangkan pahala mereka kerana ketaqwaan dan kesabaran adalah sifat bagi orang yang berbuat kebaikan. Oleh itu formula untuk berjaya adalah dengan taqwa, sabar dan ihsan.

Abang-abangnya pun mengaku bersalah namun nabi yusuf menjawab,

"Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani." [Q:12:92]

11-Memberi kemaafan ketika berkemampuan untuk membalasnya.

Nabi yusuf memaafkan mereka sedangkan baginda mempunyai kuasa dan berkemampuan, manakala mereka berada di posisi yang hina dan lemah.

Baginda tidak mencela abang-abangnya bahkan nabi yusuf menambah kemuliaan mereka dengan mendoakan agar mereka diberi keampunan.

Para daie hendaklah memahaminya dan memaafkan di antara satu sama lain.

Kemudian baginda menyuruh mereka membawa bajunya untuk diletakkan pada muka ayahnya supaya dikembalikan penglihatan. Dan menyuruh mereka membawa keseluruhan keluarganya.

Baginda ingin menggembirakan ayahnya dengan mengkhabarkan bahawa dirinya masih hidup.

Ketika mereka dalam perjalanan menuju kepada ayah mereka, nabi ya'qub berkata,
"..."Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)"." [Q:12:94]

"Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama"." [Q:12:95]

Hal ini kerana saat nabi ya'qub mengatakan tercium bau nabi yusuf, abang-abangnya masih belum sampai ke rumah. Baru melepasi sempadan mesir. Atas sebab itulah keluarganya menganggap nabi ya'qub tidak siuman.

"Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?"" [Q:12:96]

Lantas abang-abang nabi yusuf memohon keampunan atas kesalahan mereka. Nabi ya'qub menjawab, "Aku akan (saufa) memohon keampunan dari Tuhanku." Sedikit berbeza dengan cara nabi yusuf menjawab sebelum ini iaitu, "Semoga Allah mengampunkan dosa kalian."

Dapat dilihat nabi yusuf bersegera memaafkan mereka. Maka di sini dapat dilihat dua peribadi; ayah yang terluka, dan anak yang sangat cepat memaafkan.

Namun bukanlah bermakna nabi ya'qub tidak memaafkan. Cuma mengambil suatu tempoh. Kerana baginda menggunakan kalimah 'saufa' yang bermaksud akan (tetapi untuk tempoh yang lama).
Perkara ini tidaklah mencacatkan kenabian baginda, ia sekadar sifat atau sisi manusiawi sahaja.

*     *     *     *     *

PERTEMUAN TERAKHIR DAN MIMPI TEREALISASI
Q:12:99-101

Maka berangkatlah nabi ya'qub dan seluruh keluarganya ke mesir untuk bertemu nabi yusuf. Inilah penghijrahan pertama bani israil, dari palestin ke mesir.

"Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." [Q:12:100]

Sujud di sini bukanlah sujud perhambaan tetapi sujud sebagai memuliakan nabi yusuf. Dan mereka hanya sujud kerana Allah yang memerintahkan mereka berbuat demikian. Sujud penghormatan ini adalah sebagai tanda baginda lebih mulia di sisi Allah berbanding mereka.

Baginda teringat akan mimpinya dahulu dan apa yang diperkatakan ayahnya. Kini terjadi, ibunyalah matahari, ayahnya bulan, adik-beradiknya 11 bintang, semuanya sujud kepadanya.

Nabi yusuf memuji Allah yang memberinya nikmat dengan mengeluarkannya dari penjara. Baginda tidak menyebut tentang dimasukkan ke dalam perigi kerana baginda telah pun memaafkan abang-abangnya.

""Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh"." [Q:12:101]

12-Mengharapkan kematian.

Yang dimaksudkan dengan doa baginda bukanlah bermaksud nabi yusuf meminta akan kematian itu, tetapi meminta agar apabila tiba saat kematiannya, matikanlah dalam Islam.

Janganlah dipinta akan kematian. Tetapi mintalah agar terus tsabat atas Islam dan mati dalam Islam.

Namun sekiranya fitnah yang dialami terlalu dahsyat, dibolehkan untuk mengharapkan kematian demi menyelamatkan keislamannya, seperti pada zaman firaun dan dajal.

Kisah yusuf adalah bukti tanda kenabian nabi muhammad. Bagaimana mungkin seorang yang tidak tahu membaca, boleh menceritakan kisah terdahulu dengan begitu terperinci kalau bukan kerana wahyu. Mereka berdua juga bertemu pada malam isra' mikraj di langit ketiga.

Tamat.


Semoga beroleh manfaat^^
Like if you like, do comment too~

0 responses:

Berkatalah dengan akal dan jiwa, kerana itu anugerah Pencipta dan ternyata natijahnya akan lebih bahagia. ^_^

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2008-2017 Aisyah Ameelah ^_^: Ketaqwaan dan Kesabaran Nabi Yusuf (Part2)
Design by a.a.ghariib